Dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur, Mokhtar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Victoria Institution (1966-1970). Anak kepada Dahari Abeng dan Maimon Sadikin ini mula mewakili Selangor pada tahun 1971 pada Piala Burnley. Beliau juga Pernah menyertai beberapa kelab bola sepak antaranya Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco, Kwong Yik Bank.
Beliau berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan dikurniakan 3 orang anak iaitu Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina.
Pada usia 23 tahun, Mokhtar atau lebih terkenal dengan jolokan SuperMokh diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.
Kelebihan dimiliki ‘Supermokh’ banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari mendiang R Arumungam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampannya. Itu belum dikira bijaknya penyerang ternama negara itu membaca gerakan lawan dan meloloskan diri.
Dengan 167 kaps antarabangsa, dia berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi pentas bola sepak Asia seterusnya mampu membuka mata dunia hingga kuasa bola sepak dunia. Skuad England B bimbingan Bobby Robson turut merasa bahangnya selepas diikat skuad negara 1-1 hasil jaringan menakjubkan Mokhtar.
No comments:
Post a Comment