Saturday, January 1, 2011

KBS tumpu latihan khas pasukan bola Malaysia


KEMAMAN 1 Jan — Kementerian Belia dan Sukan akan memberikan tumpuan kepada latihan khas skuad bola sepak negara pada tahun ini dalam usaha untuk memastikan pasukan itu mampu beraksi dalam peringkat kelayakan ke Sukan Olimpik.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata fokus KBS pada masa kini adalah peringkat kelayakan ke Sukan Olimpik dan akan menyenaraikan sukan itu dalam program Road to London 2012 berdasarkan kejayaan skuad bola sepak negara merangkul kejuaran Piala Suzuki AFF di Jakarta, Selasa lepas.

"Kita akan sediakan bajet khas untuk memastikan mereka mendapat latihan intensif dan bukan hanya latihan di dalam negara semata-mata.

"Kalau boleh kita mahukan mereka mendapat pendedahan secukupnya sebelum menghadapi pusingan kelayakan itu,” katanya ketika ditemui selepas menyertai “DASC Friendship Golf Tour” di Awana Kijal di sini hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya tentang jumlah peruntukan dan negara yang dicadangkan untuk pasukan bola sepak negara menjalani latihan, Ahmad Shabery berkata ia akan dibincangkan dengan jawatankuasa teknikal. — Bernama

No comments: