Wednesday, April 1, 2009

Perlis Dahului Liga M


KUALA LUMPUR - Buat pertama kali musim ini, Perlis berjaya menghuni takhta Liga Super dengan merampasnya dari Selangor selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Muda Naza di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Gol tunggal dan kemenangan Perlis itu dijaringkan Nizaruddin Yusof pada minit ke-22 untuk mengumpul 22 mata hasil tujuh kemenangan daripada 10 perlawanan yang telah dilalui setakat ini.

Kejayaan Perlis yang sebelum ini menduduki tangga ketiga liga turut dibantu kekalahan mengejut dua pasukan teratas iaitu Selangor dan Kelantan kepada lawan masing-masing.

Selangor tewas 1-2 kepada tuan rumah, Terengganu pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dua gol dalam masa tiga minit menerusi Ismail Faruqi Ashaari (m-35) dan Azlan Ismail (m-38) sudah cukup untuk menyingkirkan Selangor ke tangga kedua liga walaupun pasukan pelawat merapatkan kedudukan menerusi D. Surendran (m-84).

Kelantan juga tewas dengan jaringan yang sama kepada Negeri Sembilan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhd. Ke-IV, Kota Bharu.

Namun Negeri Sembilan kekal di tangga keempat liga dengan 20 mata, kurang dua mata berbanding Perlis dan satu mata ketinggalan kepada Selangor dan Kelantan.

Gol-gol Negeri Sembilan dijaringkan Shahrulain Abu Samah (m-41) dan Zaquan Adha Razak (m-62) sebelum Kelantan sekadar mampu merapatkan kedudukan menerusi Indra Putra Mahyuddin (m-79).

Tiga lagi pasukan tuan rumah turut tewas iaitu Pahang, Pulau Pinang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

No comments: