Wednesday, August 3, 2011

Sneijder akan bersama Old Trafford jika setuju tawaran gaji



Wesley Sneijder


LONDON - Wesley Sneijder akan menjadi pemain Manchester United minggu ini jika dia sanggup menerima tawaran kontrak yang disusun semula untuk dia berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

Inter Milan dikatakan telah menerima tawaran rasmi bernilai 30 juta pound (RM150 juta) secara prinsipnya daripada United pada hujung minggu lalu.

Ini bermakna Sneijder diberi kebenaran berunding dengan pegawai dari Old Trafford dan difahamkan rundingan tersebut bakal dijalankan dalam beberapa hari lagi.

Halangan utama pastinya terarah kepada permintaan gaji pemain itu memandangkan dia menikmati struktur cukai yang menyebelahinya di Itali.

Justeru, Sneijder agak keberatan untuk menerima gaji yang lebih rendah.

Gaji lumayan yang dinikmatinya di Serie A kini adalah bersamaan dengan 190,000 pound dalam Liga Perdana, satu jumlah yang jauh dari struktur pembayaran gaji di United.

Juara Liga Perdana itu bagaimanapun bersedia memuaskan hati Sneijder dengan menambah beberapa bayaran bonus serta menawarkan yuran menandatangani yang tinggi.

Sejumlah penambahbaikan ke atas gaji pokok yang menyamai kontraknya di Inter, malah pemain-pemain United juga meraih pendapatan menerusi hak imej, lebih efektif daripada lain-lain kelab Eropah, maka ia juga salah satu faktor yang dapat memujuk bekas bintang Ajax Amsterdam dan Real Madrid itu.

Kedua-dua kelab semalam enggan mengulas lanjut mengenai situasi terkini, dengan pegawai Inter sekadar mengesahkan ada bidaan datangnya dari England sementara bos United, Alex Ferguson berkata, Sneijder perlu mempertimbangkan tawaran kelabnya.

Ferguson telah mengadakan pertemuan dengan ketua eksekutif United, David Gill mengenai prospek menawarkan pakej gaji lebih lumayan untuk Sneijder yang tidak akan melanggar struktur gaji kelab tersebut dan keyakinan nampaknya timbul selepas berlangsungnya pertemuan itu.

United berharap pemain antarabangsa Belanda itu dapat menyertai latihan bersama skuad sebelum bermulanya musim baru Liga Perdana Sabtu depan. - Agensi

No comments: