Wednesday, August 10, 2011

Harimau Malaya Kena Ada Pengarah Taktikal


Pasukan bola sepak Malaysia memerlukan sentuhan taktikal yang benar-benar meninggalkan kesan jika mahu pergi jauh dalam pertandingan antarabangsa termasuk Kejohanan Piala Dunia. - UTUSAN/Abdul Razak Latif


KUALA LUMPUR - Pandangan untuk mengadakan pengarah taktikal bagi membantu barisan kejurulatihan mendapat sambutan yang baik daripada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa (gambar).

Mengakui terbuka menerima idea yang dilontarkan oleh Utusan Malaysia sebelum ini, beliau mengakui ia sejajar dengan yang dicadangkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada ahli-ahli gabungannya dalam memantapkan pasukan secara total.

''Struktur yang diajukan oleh Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada semua ahli-ahli gabungannya sentiasa memberi galakan agar ada melantik seorang pakar teknikal dan kejurulatihan.

''Jawatan ini pernah disandang seseorang sebelum ini kalau tidak salah saya, Lim Kim Chon tetapi ia telah kosong pada waktu ini.

''Bagi saya, cadangan ini (pengarah taktikal) merupakan satu perkara yang baik dan harus dikaji oleh FAM demi meningkatkan mutu bola sepak negara," katanya kepada Utusan Malaysia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, semalam.

Jelasnya, beliau akan membawa perkara itu ke peringkat mesyuarat exco FAM bagi tindakan selanjutnya bagi mencari jawapan kepada penyelesaian kepada aksi tidak konsisten skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

''Saya bersedia membincangkan agenda ini ke pengetahuan exco-exco FAM yang lain dan kita akan tengok langkah susulan selepas itu.

''Buat masa ini, kita harus terbuka menerima cadangan sesiapa sahaja, jangan perlu ada 'sindrom menafikan' selepas kita terkeluar daripada persaingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 kepada Singapura.

''Kita kena tengok kembali segala kelemahan yang kita ada, kadang-kala bila kita menang, belum tentu kita yang terbaik dan tidak bermakna apabila kita sekali gagal, kita terlalu teruk dalam semua segi," katanya.

Selain itu, beliau berkata, memandangkan sudah tiada sebarang aksi kompetitif yang melibatkan pasukan kebangsaan sehingga Piala AFF 2012, beliau melihat satu usaha mengadakan perlawanan persahabatan berkelas A secara berterusan perlu diadakan.

''Rancangan perlawanan persahabatan dengan Oman itu adalah yang pertama, kita harap selepas ini lebih banyak perlawanan kita mampu aturkan.

''Saya harap selepas ini juga kita janganlah kerap berjumpa pasukan yang kita rasa mampu boleh 'makan' sahaja, bagi saya pendedahan sebegitu tidak mencukupi buat pasukan kebangsaan.

''Skuad kebangsaan kena sentiasa berkumpul selalu dan tidak semestinya hanya menunggu kejohanan besar mahu diadakan, baru mengadakan latihan bersama, situasi ini perlu dielakkan pada masa akan datang," katanya.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusifnya mencadangkan agar FAM memikirkan untuk mengadakan jawatan pengarah atau penasihat taktikal dalam menggandakan kemahiran pemain ekoran aksi tidak konsisten skuad negara.

Perlawanan menentang Singapura dalam kelayakan Piala Dunia 2014 sebelum ini mengundang banyak reaksi pelbagai termasuk mempersoalkan kematangan permainan skuad Harimau Malaya.

Malah, lontaran idea itu juga menarik perhatian beberapa ahli akademik tempatan yang menyatakan sokongan terhadap cadangan membawa masuk seorang pakar ke dalam barisan kejurulatihan untuk membantu ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal dalam aspek taktikal.

No comments: