Malaysia BOLEH......................
BADDROL (dua dari kiri) meraikan jaringannya ketika membantu Malaysia menewaskan Laos 3-1 dalam saingan separuh akhir, malam tadi.
Temu Vietnam ketepikan Singapura
MALAYSIA kembali menjengah medan final selepas lapan tahun menanti apabila persembahan mantap kesebelasan negara melenyapkan tentangan Laos 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Utama, Kompleks Sukan Laos, malam tadi.
Baddrol Bakhtiar memuncakkan prestasi tepat pada masanya untuk menjaringkan dua gol ketika Safiq Rahim - perencana gerak yang diberi ruang bebas oleh jurulatih, K Rajagobal - menjamin kejayaan dengan gol pada lewat permainan.
Penampilan itu adalah kali pertama sejak temasya 2001 di gelanggang sendiri, serta turut menamatkan penantian 22 tahun untuk merasai nikmat pentas sama di tempat lawan selepas kali terakhir melakukannya pada 1987 di Jakarta.
Kini, ruang balas dendam menjelma dengan Vietnam, barisan yang menundukkan mereka 3-1 di peringkat kumpulan, menanti selaku penghalang terakhir kepada kilauan pingat emas pada Khamis ini. Vietnam menewaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi separuh akhir.
Biarpun bingit dengan sorakan penyokong tuan rumah, skuad negara cepat menyesuaikan diri dan mula mengawal rentak aksi. Hasilnya ialah cubaan cantik Norshahrul Idlan Talaha pada minit kesembilan, hasil bola umpanan lolos Safiq yang memaksa penjaga gol lawan, Souvanpheng Phanthavong melayangkan diri buat menepis keluar.
Penantian gol negara dinoktahkan pada minit ke-13. Gerak pantas dari sayap kanan menyaksikan Abdul Manaf Mamat melintangkan bola yang cantik disambung dengan sepakan libas Baddrol Bakhtiar yang terus menerjah jaring gol lawan.
“Saya memang yakin mampu menjaringkan gol kali ini. Malah tekanan sorakan penonton tidak mengganggu kerana kami pernah merasai pengalaman sama ketika menentang Manchester United lalu. Saya langsung tidak teragak-agak apabila beroleh peluang ini.
"Kejayaan ini bukan hanya untuk kami sepasukan, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama menyokong perjuangan kami menerusi siaran langsung di tanahair. Kini kami mahu laksanakan misi tebus maruah apabila bertemu Vietnam nanti," katanya.
Selepas itu, Laos cuba mengatur gerak, tetapi segala ancaman mudah diserap barisan benteng diterajui Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohamad Muslim Ahmad, Nasriq Baharom dan Mohd Sabre Mat Abu untuk kelebihan dikekalkan sehingga tamat babak pertama.
Padah memperlahankan rentak dirasai skuad negara apabila Laos mengikat kedudukan pada minit ke-73 menerusi rembatan deras lencong Kanlaya Sysomvang yang memperdaya Mohd Sharbinie Allawee untuk menerjah bahagian atas jaring gol.
Tetapi perwatakan mereka jelas kental dan enam minit kemudiannya, skuad negara kembali mendahului apabila cubaan jauh S Kunanlan terkena palang sebelum bola lantunan disudahkan Baddrol untuk gol kedua negara.
Safiq Rahim memastikan namanya dalam senarai penjaring dengan gol pada ke-85 yang sama sekali melenyapkan bingit sorakan penyokong lawan - seperti runtuhnya baki tentangan kesebelasan Laos.
No comments:
Post a Comment