Wednesday, January 13, 2010

Bolasepak Malaysia Dapat RM10 juta

sukan@utusan.com.my

Najib Tun Razak (depan, enam dan kiri) dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama-sama menteri-menteri dan timbalan menteri, pegawai-pegawai kanan sukan serta atlet-atlet negara pada majlis penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan bagi Sukan SEA XXV Laos di Putrajaya, semalam. Pada temasya tersebut kontinjen Malaysia berjaya meraih 40 pingat emas, 40 perak dan 59 gangsa. - UTUSAN/Zaki Amiruddin


PUTRAJAYA - Peruntukan RM10 juta yang disalurkan kepada Tabung Pembangunan Bola Sepak merupakan bajet awal kerajaan bagi meningkatkan kualiti sukan nombor satu negara itu sehingga ke peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pengumuman peruntukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam akan memudahkan pihaknya menyusun atur perancangan bagi memastikan program pembangunan bola sepak negara dapat berjalan dengan lancar.

''Apabila kerajaan telah bersetuju dan kita dengar ucapan Perdana Menteri tadi (semalam) ia adalah sebagai permulaan dengan peruntukan RM10 juta, kita akan kemukakan program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

''Sudah tentu bagi kami apabila RM10 juta itu diumumkan, maknanya kita tahu sejauh mana langkah kami boleh dimulakan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan insentif kepada atlet yang meraih pingat emas Sukan SEA XXV di Laos oleh Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Menurut Shabery, dana RM10 juta itu akan digunakan secara menyeluruh termasuk menganjurkan liga bola sepak di peringkat daerah, negeri dan sebagainya.

Jelas beliau, pihaknya turut mengambil kira cadangan yang telah dibuat menerusi satu mesyuarat bersama antara Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pelajaran dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), baru-baru ini.

''Melalui mesyuarat itu juga kita telah menyatakan satu tabung khas diperlukan dan kini kita berasa amat berbesar hati dan terima kasih kepada Perdana Menteri yang menyokong penubuhan tabung tersebut,'' ujarnya.

Ketika ditanya sama ada peruntukan itu mencukupi atau pun tidak, beliau berkata, sememangnya peruntukan yang diminta ialah RM50 juta tetapi dana RM10 juta itu hanya untuk peringkat awal dan sekiranya keadaan ekonomi negara bertambah baik kerajaan pasti akan menambahnya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan mendapatkan pandangan MSN untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan mengendalikan tabung tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai Skim Hadiah Kemenangan Dalam Sukan (Shakam) yang akan ditingkatkan ganjarannya, Shabery memberitahu, kementerian akan mengkaji dan membuat perbandingan dengan negara-negara di rantau ini mengenai jumlah ganjaran yang sesuai.

''Kita kaji dan akan membuat perbandingan dengan apa yang diberi di negara-negara rantau ini dan juga temasya sukan lain termasuk paralimpik,'' katanya.

Menurutnya, penyesuaian juga akan dibuat berdasarkan kejohanan yang disertai atlet itu sama ada ia bertaraf sama dengan Sukan SEA atau lebih tinggi lagi.

No comments: