Monday, June 8, 2009

Brazil Ratah Uruguay


MEXICO CITY: Brazil tidak berdepan masalah manakala Argentina dipaksa bekerja keras, tetapi dua pasukan utama Amerika Latin itu berjaya meraih kemenangan penting kelmarin untuk semakin hampir mengesahkan tempat dalam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Juara lima kali Piala Dunia, Brazil mudah meratah Uruguay 4-0 menerusi gol Daniel Alves, Juan, Luis Fabiano dan Kaka untuk memberikan kemenangan pertama buat Brazil dalam tempoh 33 tahun dalam perlawanan kelayakan di ibu negara Uruguay, Montevideo.

Argentina meraih kemenangan 1-0 di Buenos Aires menentang Colombia, hasil jaringan Daniel Diaz pada minit ke-56.


Keputusan itu tidak memberangsangkan, tetapi ia adalah peningkatan daripada kekalahan memalukan 6-1 pada April di Bolivia, kekecewaan pertama sejak Diego Maradona dinamakan sebagai jurulatih bagi juara dua kali Piala Dunia itu pada November.


Dengan kebanyakan pasukan sudah bermain 13 perlawanan dalam kumpulan kelayakan 18 perlawanan di mana empat pasukan teratas melayakkan diri ke Piala Dunia, Brazil dan Paraguay masing-masing mempunyai 24 mata disusuli Chile (23), Argentina (22) dan Uruguay (17).

Selepas itu, Venezuela (16), Colombia (14), Ecuador (14 dengan satu perlawanan dalam tangan), Bolivia (12) dan Peru (tujuh dengan satu perlawanan dalam tangan).

Pasukan tangga kelima berdepan playoff dengan pasukan tempat keempat daripada rantau Amerika Utara, Tengah dan Caribbean.

Selepas keputusan seri tanpa jaringan yang menyaksikan Colombia banyak menguasai perlawanan, Maradona mengubah Argentina daripada pertahanan tiga pemain kepada empat pemain, dengan memasukkan Javier Zanetti.

Sepakan percuma daripada bintang Barcelona, Lionel Messi tujuh minit selepas rehat terkena palang, tetapi pertahanan Getafe, Diaz menjaringkan gol beberapa minit kemudian dengan rembatan kaki kanan selepas Martin Demichelis menanduk sepakan penjuru Veron. - AP

No comments: