Thursday, February 26, 2009

Perak Tak Nak Bayar Gaji Player


AMARAN diulangi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) betapa Perak bakal diketepikan daripada saingan Liga Super musim depan jika hutang mereka tidak diselesaikan. Tetapi ianya sekadar disambut dengan reaksi dingin. Walaupun Jawatankuasa Status Pemain yang bersidang semalam mengulangi apa yang ditetapkan Exco FAM awal tahun ini, Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) tetap mempertahan pendiriannya untuk mengutamakan pengurusan skuad kini berbanding bayaran tertunggak pemain dan jurulatih skuad musim lalu menerusi setiausaha kehormatnya, Anuar Hashim. FAM sebelum ini menyuarakan ketegasannya kepada PFA dan ahli gabungan lain yang mempunyai masalah bayaran tertunggak untuk berdepan kemungkinan dilarang beraksi dalam saingan Liga M musim 2010 jika tidak menyelesaikan segala kemelut kewangan sebelum 31 Disember ini.

“Adalah lebih baik kami menumpukan perhatian terlebih dulu dengan pengurusan skuad kini, pengurusan baru PFA hanya mengambil alih pada November tahun lalu dan kami kesuntukan masa untuk menubuhkan pasukan menghadapi Liga Super musim ini. “Kami akan berusaha menyelesaikan bayaran tertunggak bekas pemain Perak. Tapi buat masa ini keutamaan ialah terhadap skuad musim ini kerana jika semua perkara mahu ditangani kini, tiada apa yang mampu diselesaikan,” kata Anuar semalam. Jumlah anggaran lebih RM600,000 ditanggung PFA dikatakan tunggakan gaji empat bulan dari Julai sehingga Oktober tahun lalu, termasuk tiga bekas pemain import yang berjumlah RM186,000, gaji bekas jurulatih, Steve Darby sekitar RM120,000 dan baki RM300,000 adalah jumlah gaji pemain tempatan.

No comments: