Friday, April 1, 2011

Rajagobal tidak mahu bersikap ghairah



KUALA LUMPUR - Seperti diramal, pengendali skuad kebangsaan, K. Rajagobal enggan mahu bersikap terlalu yakin biarpun undian memperlihatkan Malaysia mempunyai peluang cerah untuk layak sekurang-kurangnya ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014.

Berdepan dengan dua lawan yang mempunyai ranking lebih rendah dalam perjalanan mara ke pusingan ketiga, jurulatih berusia 56 tahun itu tetap menganggap ia bukan satu tugasan yang mudah.

''Saya tahu apabila melihatkan undian ini, ramai yang fikirkan kita mempunyai peluang untuk melangkah jauh sehingga ke pusingan ketiga kelayakan.

''Namun, saya ingatkan kita jangan terlalu ghairah untuk memikirkan pertemuan dengan Singapura, kita mesti menyelesaikan misi menewaskan Taiwan terlebih dahulu," katanya yang ditemui media selepas sesi undian kelayakan Piala Dunia 2014 di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini, semalam.

Jelas Rajagobal, Taiwan yang berada di ranking 147 dunia bukanlah lawan yang boleh dipandang rendah kerana mempunyai gaya permainan sama seperti China dan Hong Kong, lawan ditemui Harimau Malaya pada 9 Februari lalu.

''Setakat ini perlawanan persahabatan dengan Hong Kong yang dijadualkan pada 3 Jun ini di sana akan menjadi salah satu medan terbaik sebagai persiapan menghadapi Taiwan," jelasnya

Pada masa sama, Rajagobal juga memberitahu, dia tidak berdepan masalah untuk menggunakan khidmat pemain Harimau Muda A yang turut beraksi di kelayakan Olimpik.

''Selepas perlawanan dengan Hong Kong nanti, saya akan melepaskan pemain Harimau Muda untuk mengikuti latihan pusat skuad Olimpik yang berdepan Lebanon pada 19 Jun," ujarnya.

Dia juga menyatakan hasrat untuk mengaturkan perlawanan persahabatan dengan Singapura tidak kesampaian ekoran keputusan undian yang akan mempertemukan kedua-dua pasukan di pusingan kedua.

''Sebelum sesi undian berlangsung, saya ada berjumpa dengan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic dan mahu mengadakan perlawanan persahabatan pada Jun ini.

''Tetapi apabila keputusan undian yang menunjukkan kita berkemungkinan menentang Singapura di pusingan kedua maka saya terpaksa membatalkan hasrat tersebut," katanya.

Rajagobal juga sempat berpesan buat peminat setia negara agar bersikap realistik dengan kekuatan skuad kebangsaan jika berharap mahu Malaysia layak ke Piala Dunia 2014 kerana sasaran jangka panjang adalah untuk layak ke Piala Asia 2015.

''Saya anggap kelayakan Piala Dunia adalah pendedahan terbaik buat semua pemain mendapatkan pengalaman beraksi dan misi saya adalah mahu pemain melakukan yang terbaik, " katanya.

1 comment:

Abhilasha Institute Delhi said...

nice!!!!
Abhishek poddar (INDIA)

http://globaledusky.blogspot.com