Sentuhan penyudah penyerang utama bakal menjadi tumpuan penting lima pasukan teratas khususnya Selangor dan Kelantan yang saling bersaing merebut kembali teraju persaingan bola sepak Liga Super 2009, malam ini.
Jika Safee Sali masih serba tidak menjadi, kelemahan itu mampu ditampung Amri Yahyah, Rudie Ramli dan R. Surendren mahupun pemain bawah 20 tahun pasukan itu manakala Kelantan perlu lebih bimbangkan ketidakseimbangan pasukan biarpun berjaya mengumpul 25 gol setelah dibolosi 17 kali.
Anak buah Peter James Butler hanya mampu terus mengekori teraju liga selagi tidak memperbaiki barisan bentengnya yang dikemudikan bekas pemain belia negara dan Perak, Ahmad Azlan Zainal dan sikap penjaga gol veteran, Halim Napi yang mudah hilang tumpuan serta panas baran.
Malah Wira Merah yang memiliki jentera serangan berbisa dengan Indra Putra Mahayuddin, Khalid Jamlus, Nor Farhan Muhammad dan Badhri Radzi menghadapi pertemuan buku dengan ruas apabila melayani Negeri Sembilan di Kota Bharu.
Si Rusa yang diterajui Wan Jamak Wan Hassan mengatasi kekurangan Kelantan kerana setakat ini menjadi pasukan yang terendah melepaskan gol (enam gol) sekali gus menggambarkan kemantapan penjaga golnya, Farizal Harun dan bek tengahnya, Aidil Zafuan Radzak.
Gandingan muda dan berpengalaman seperti Zaquan Adha Radzak, Shahurain Abu Samah, S. Kunanlan dengan Shukor Adan, Rezal Zambery Yahya dan Idris Karim menjanjikan laluan yang perit untuk Kelantan mempertahankan rekod tanpa kalahnya di kubu sendiri.
Sebaliknya Gergasi Merah bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menentang Terengganu dengan barisan mantap kecuali sayap kanannya, Amirulhadi Zainal yang kini cedera lutut kanan.
Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata: "Kemarau gol Safee bukan bererti dia kurang menyengat lagi tetapi memang sukar bagi mana-mana penyerang pun jika lawan meletakkan sehingga dua pemain untuk mengekangnya sepanjang masa.
"Namun Selangor mempunyai hampir kesemua pemain yang boleh menjaringkan gol termasuk pemain belia. Kami tidak akan hanya bergantung kepada Safee apatah lagi Zaiza Zainal Abidin (bek tengah) sudah dilatih sebagai penyerang sejak pulih daripada kecederaan," katanya.
Perlis yang cuba mengintai untuk menyelinap terus ke teraju liga sekiranya Selangor dan Kelantan dapat dikekang walau satu mata pun, malam ini, bertembung KM Naza di Alor Setar dengan mengusung masalah ketumpulan penyerang utamanya, Nizaruddin Yusof.
Gandingan pendahulu senarai penjaring Liga Super ini dengan penyerang muda, Ahmad Fakri Saarani masih tidak melegakan jurulatih Singa Utara, Irfan Bakti Abu Salim.
"Sudah tiga perlawanan Nizaruddin gagal menjaringkan gol. Ia membimbangkan saya," katanya.
Kedah yang secara beransur-ansur bangkit dari kelompok bawahan, turut bimbang dengan sentuhan penyerangnya, Khyril Muhymeen Zambri dan Azrul Ahmad.