Dua pemain Perlis (jersi kuning) menghalang pemain Selangor Mohd. Amirul Hadi Zainal dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Negeri Sembilan merampas kedudukan pendahulu bola sepak Liga Super selepas membelasah Johor FC 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.Mereka berjaya mengetepikan pendahulu terdahulu, KL Plus yang mengalami kekalahan pertama musim ini selepas tumpas 2-0 kepada penyandang juara, Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Selangor pula masih berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perlis meskipun menamatkan permainan dengan 10 pemain di Stadium Shah Alam. Empat pasukan - Negeri Sembilan, Selangor, KL Plus dan Kelantan kini berkongsi 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan, tetapi dipisahkan oleh perbezaan gol. Dalam perlawanan di Shah Alam, Selangor terpaksa mengharungi 20 minit terakhir dengan 10 pemain selepas Nasriq Baharom dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain lawan.
Tuan rumah bagaimanapun berjaya mempertahankan kelebihan mendahului menerusi jaringan Nasriq pada minit ke-40, diikuti Fazilidin Khalid pada minit ke-52. Perlis yang tampil lebih cergas selepas beraksi dalam dua perlawanan Piala FA, memperoleh gol sagu hati menerusi rembatan deras Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-56.
Sementara itu, Kedah akhirnya memperoleh kemenangan pertama musim ini, berterima kasih kepada dua jaringan Mohd. Fadly Baharum pada minit kesembilan dan 63. Kemenangan tersebut menghidupkan kembali peluang skuad Hijau Kuning itu untuk mempertahankan kejuaraan selepas mengalami tiga kekalahan dan satu seri dalam empat perlawanan terdahulu.
Kelantan pula terus menjadi pencabar utama gelaran Liga Super musim ini apabila mencatat kemenangan keempatnya dengan menewaskan Perak 3-2 di Stadum Perak, Ipoh.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 ketika saingan tinggal seminit untuk ditamatkan, namun jaringan Mohd. Norfarhan Mohamad pada minit ke-89 memastikan Kelantan pulang bersama tiga mata penuh. Dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, Pahang terus malang apabila tunduk 1-2 kepada wakil Kedah, Kuala Muda Naza. Gol Kuala Muda dijaringkan oleh ketua pasukan, Mohd. Anuar Jusoh pada minit ke-27 dan K. Rajan (minit ke-41), manakala gol sagu hati Pahang pada minit ke-54 dijaringkan oleh Mohd. Shahrizan Salleh.
Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang juga gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tumpas 2-3 kepada UPB-MyTeam. Mohd. Fazrul Hazli Kadri membuka jaringan MyTeam pada minit ke-10, diikuti jaringan Mohd. Nazrin Nawi (56) dan Mohd. Zamri Chin (89) manakala gol Pulau Pinang dijaringkan Mohd. Mohd Rafiuddin Nordin pada minit ke-30 dan Mohd. Failee Mohd. Ghazali, minit ke-69.
Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Sultan Mizan, gol tunggal Mohd Ashaari Shamsuddin di minit ke-77 membantu Terengganu menewaskan pasukan tercorot liga, PDRM 1-0.